Thursday, 7 January 2010

Wahai diri...


Wahai Diri...

Hendaknya janganlah engkau terpedaya dengan usiamu, berapa ramai manusia yang lalai dengan umur yang dianugerahkan ALLah dan menyangka ia masih mempunyai masa yang panjang lagi. Hinggalah walaupun sudah usia melanjut tua tetap tertipu dengan dunia.

Mati itu datang dalam keadaan mengejut. Ia datang secara tiba-tiba tidak mengira tempoh masanya. Seseorang yang sihat bukanlah bermakna pasti akan hidup lama. Seseorang yang cukup zat makanannya bukanlah bererti pasti malaikat maut akan melupakannya. Kerana itu wahai diri, para ulamak selalu mengingatkan diri kita agar berhati-hati dengan kehidupan ini. Maka kerana itu maut itu menjadi rahsia ALlah, Dia tidak mahu kita meyakini bahawa kita akan kekal di alam ini.

Wahai Diri...

Apa yang engkau corakkan dalam segenap kehidupanmu selama ini benar-benar mendapat redhanya ALlah? Atau ia mengundang kemurkaanNya? Berapa kalilah engkau beristighfar tatkala terfikir tentang maksiat? Berapa kalilah engkau meminta ampun pada ALlah apabila membuat dosa. Sekali lagi aku ingatkan wahai diri... dosa kecil itu apabila dihimpunkan ia akan menjadi besar. Dan setiap dosa itu jika tidak diampuni ALlah serta mendapat rahmatNya akan dibasuh dengan bakaran api neraka.

Oleh kerana itu, apabila engkau sedar bahawa hidup ini akan berakhir pada bila-bila masa bersegeralah membuat amal kebaikan.

ALlah telah berfirman yang bererti :

Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu; siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu, lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).

(Surah al-Mulk ayat 2)

Wahai diri... Ingatlah, bahawa dunia ini semakin sampai ke penghujungnya. Dan kita semua pasti akan hancur binasa, berpindah ke alam lain dan dibangkitkan untuk menerima buku amalan masing-masing. Samada di kanan ataupun di kirinya..